Hamzah adalah pakar perang. Dia mengetahui jalan yang paling senang dan paling cepat bagi mengalahkan lawan iaitu dengan merebahkan bendera mereka. Apabila pertempuran bermula sahaja, Hamzah dan pasukannya menyerang bertubi-tubi ke arah bendera bukan Islam. Hamzah tidak memberi peluang. Dia mengasak lagi ke arah bendera dan ditumbangkan lagi bendera buat kali kedua dan anak Abu Talhah yang kedua tewas. Hamzah bagaikan singa, menebas ke kiri dan kanan sehingga dia sampai ke bendera dan berjaya membunuh pemegang bendera.
Sementara itu, Hamzah yang sedang bertarung tinggal seorang. Sudah tidak ada orang yang mengawalnya dari belakang. Wahsyi yang dari awal peperangan tadi mengawasi pergerakan Hamzah segera mendekati Hamzah. Wahsyi seorang pakar melontar lembing. Lontarannya jarang meleset. Dia diberi tawaran oleh pembesar Quraisy. Kalau dia dapat membunuh Hamzah, dia akan dibebaskan. Jadi, dia ikut dalam peperangan ini dengan satu tujuan saja iaitu membunuh Hamzah bagi melepaskan dirinya daripada perhambaan. Apabila dia melihat Hamzah tinggal seorang, dia mengikuti Hamzah dari jarak yang selamat baginya sehingga dia berada di belakang Hamzah. Pada masa itu, dia melontar tombaknya dan tepat mengenai belakang Hamzah dan menembusi perutnya. Hamzah masih tegak, belum jatuh lagi. Dia memusing kudanya kearah Wahsyi. Wahsyi berkata, “ketika itu aku rasa aku tidak dapat selamat lagi daripada Hamzah.”
Apabila Hamzah sampai ke tempat Wahsyi yang tidak dapat lari lagi kerana ketakutan. Hamzah jatuh dan syahid di situ. Wahsyi berkata, “ aku mengambil kembali tombakku dan aku berundur dari medan perang. Hanya ini saja yang aku mahu dari medan perang Uhud.”
Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan, anak Utbah dan saudara Walid serta anak saudara Syaibah, tiga orang panglima bukan Islam yang terbunuh dalam medan badar bersumpah sebelum perang akan memakan hati Hamzah yang menyebabkan kematian ayah, bapa saudara dan abang kandungnya. Dia membelah perut mayat Hamzah dan dikeluarkan hatinya. Dikunyah hati itu tetapi dia tidak mampu mengunyahnya kerana panas dan pahit. Lalu diletakkan kembali ke dada Hamzah. Tidak cukup dengan itu, dipotongnya telinga dan hidung Hamzah.
Pada masa itu, Muhammad belum sedar Hamzah syahid sehingga beliau sampai ke tempat mayat Hamzah yang berada dalam keadaan yang sebegitu rupa. Perutnya dibelah, hatinya di atas dada, hidung dan telinganya dicacatkan kerana mempertahankan Muhammad dan memperjuangkan agama Allah supaya tertegak di muka bumi ini. Supaya semua manusia dapat mengenali tuhan mereka yang sebenar dan kembali menyembahnya dan mentaatinya, mensyukuri dan membesarkannya. supaya mereka selamat daripada azab tuhan di akhirat nanti dan supaya mereka dapat hidup dalam keadaan tuhan di dunia. Muhammad menangis melihat mayat Hamzah. Sahabat berkata, Muhammad menangis teresak-esak. Para sahabat turut menangis di atas kesedihan Muhammad itu. Kesedihan Muhammad itulah kesedihan mereka. Kegembiraan Muhammad itulah kegembiraan mereka. Hati mereka terlalu dekat dengan hati Muhammad. Muhammad berkata yang bermaksud, “ Demi Allah, belum pernah aku lalui dalam hidupku sesedih suasana ini.” Muhammad lalu memerintahkan semua yang terkorban dalam peperangan Uhud dikebumikan di satu tempat.
Selepas itu, Muhammad pulang ke Madinah bersama-sama tentera Islam. Apabila masuk sahaja ke Madinah, Muhammad mendengar tangisan dari semua rumah. Muhammad berkata, “semua Syuhada’ Uhud ada yang menangisinya kecuali Hamzah kerana dia tidak mempunyai saudara terdekat di Madinah.” Kata-kata Muhammad itu sampai kepada wanita-wanita Ansar. Mereka datang beramai-ramai ke rumah Hamzah menangisi kematian Hamzah. Pada masa itu, Allah belum melarang lagi ratapan.     
.....Begitulah cerita Sahabat dan saudara sesusu nabi. Tatkala membaca cerita ini terasa bagaikan berlaku dihadapan mata. Gagah perkasa Hamzah di dalam peperangan. Bergeliga otaknya. Tapi sedih! Amat Sedih! mayat Hamzah diperlakukan sedemikian rupa. Nabi pula sedih kerana Hamzah hanyalah seorang, tiada yang menangisinya. Ketika membaca baris-baris ayat inilah, air mata gagal ditahan.
Ketika membincangkannya di dalam kuliah bersama-sama pelajar pula lain pula perasaan yang hadir. Sebak mencengkam dada. Air mata bagaikan air empangan yang bakal pecah,  namun dapat diseka demi untuk terus berdiskusi bersama-sama pelajar saya unit L2 dan L3 IPG Kampus Ipoh.
Cukup terkesan sesiapa yang membaca buku bertajuk Biografi Muhammad bin Abdullah yang ditulis oleh guru saya Prof. Dato’ Zulkifli Mohd Yusoff dan isterinya Prof. Madya Datin Noor Naemah Abd. Rahman. Telah ramai yang membacanya. Anak-anak didik saya yang kurang membaca telah minat membaca dengan memiliki buku ini. Yang telah selesai membaca juga ada.
Banyak lagi cerita-cerita yang memberi pengajaran dalam tulisan buku tersebut. Bacalah…agar benar-benar kita mencintai lelaki agong itu. Bacalah…untuk lebih menguasai kandungan Sirah Muhammad bin Abdullah. Mempertahankan dia dari direndah-rendahkan adalah kemestian. Menguasai kisahnya juga suatu kemestian.
Kepada yang berminat dengan buku ini, Insya Allah saya bantu untuk mendapatkannya.

0 Responses to "Hamzah adalah pakar perang"

Catat Ulasan

  • Salam Pertemuan




    Pembaca yang budiman,




    Mengisi ruang kecanggihan teknologi ICT, media ini sebagai penghubung di antara saya dan anda. Idea yang dipaparkan memang pendek isi maknanya. Pengisian yang diketengahkan untuk direnung dan difikir agar bersama kita celik akal. Sekadar untuk didik diri sendiri dan mengasah bakat dalam penulisan, selagi nafas boleh lagi dihela.




    "Kerja ke depan, Muhasabah ke Belakang"




    Sekian,



    Salam hormat dari saya




    Ai'sah Abol


    Blog Archive

    Pelawat

    blog counter free counters