Isu yang menggusarkan wanita  ketika di Tanah Suci ketika menunaikan haji atau umrah ialah kedatangan darah haidh. Nasihat yang saya boleh sampaikan hanyalah, semua kerja-kerja haji boleh dilakukan, melainkan tawaf sahaja. (sila klik ayat berkaitan)
Ragam kedatangan haidh bagi seorang wanita di Tanah Suci kadangkala tidak sama ragamnya kedatangannya di tanah air sendiri. Berikut adalah antara yang dimaksudkan:
  • Awal / Lewat seminggu
  • Sedikit / Banyak
  • Tiada langsung
  • Haidh kembali setelah menopouse
Banyakkanlah berdoa kepada Allah.(sila klik ayat berkaitan) Ceritalah segala-galanya. Sampaikan hasrat hati. Dia senantiasa mendengar permintaan hamba-hambanya. Usah kita atur, biar Allah yang urus. Tugas kita hambaNya menerima fitrah kejadianya dan mengatur strategi menyusun ibadat hingga hela nafas yang terakhir.
»»  read more

Pagi tadi, ketika sesi soal jawab dengan peserta Kursus Haji saya menerima satu soalan yang paling saya takut untuk saya dengar selama 14 tahun menjadi Pengkursus Ibadat Haji. Soalan tersebut berbunyi: “Ustazah, Sekitar tahun ..... saya telah mengerjakan ibadat di Tanah Suci. Bila datang kursus ni saya belajar, apa yang saya lakukan ternyata salah, ......Bagaimana & apa yang harus saya lakukan?”
 
Untuk pembaca yang membaca paparan ini, meskipun anda 10 tahun lagi untuk ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji, belajarlah dari sekarang. Soal hati tidak menentu. Entah-entah hujung tahun ini duit ditabungan mampu dijadikan tambang ke Tanah Suci, ingin melakukan Umrah. Jangan sekali-kali pergi tanpa anda belajar. Jangan sekali-kali hanya sekali kursus, berdezup sampai ke Tanah Suci.  Lihat kiri, kawan pergi ke Tanah Suci. Lihat kanan Mak Long ke Tanah Suci. Balik kampung mertua pula merancang ke Tanah Suci. Tambang murah. Tidak kiralah travel ada penipuan ke tidak.  Hati mula tercuit rasa. Teringin turut sama menjentik hati. Hati yang melonjak sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi. Inilah di antara senario yang ada dalam masyarakat kita. Pergi haji tanpa ilmu. Pergi umrah tanpa ilmu. Orang lain pergi dengan ilmu, pulangnya hijrah minda, hijrah ibadat. Kita yang bertandang dengan dada kosong. Masuk ke Tanah Haram tanpa adab. Duit berlipat menjadi taruhan membayar Dam. Orang lain tegang urat-urat kaki ulang alik hotel dan masjid. Dia tidur lena dibuai mimpi dalam selimut kalis udara sejuk. Bila pulang mula timbul cerita pelik-pelik.????
 Belajarlah sekarang. Carilah guru atau Ustaz dan Ustazah yang berkelayakkan. Yang benar-benar berkelayakkan!!!. Jangan dituntut ilmu Umrah dengan orang yang sembarangan. Ilmu Haji dan Umrah bukan urusan main-main. Silap langkah ribuan ringgit melayang. Ibadat Haji masih terawang-awang.
Sudah banyak kes yang dikendalikan, puncanya: “...tak pergi kursus,” “pergi kursus berbual” “pergi kursus tidur”, “ketika kursus berbual”,  “pergi kursus tidak sepenuhnya, ada kenduri”
Anak-anak  yang berkemampuan, duit bersusun-susun jangan dihantar ibu bapa tanpa anda pastikan mereka berkursus terlebih dahulu. Anak-anak yang berkemampuan jangan dihantar ibu bapa yang telah tua rinta, tanpa kita turut sama. Anda akan menyusahkan orang lain sebenarnya. Sampai mereka di Makkah pula, anda sibuk membuat panggilan hingga meresahkan hati orang. Anda mengganggu orang lain untuk beribadat pada hakikatnya. Di Tanah Suci pulak tu. Siapa anda sebenarnya untuk dihantar laporan saban hari?. Berapa yang anda bayar kepada orang yang anda amanahkan menjaga ibu bapa anda? Anak yang sepatutnya mengiringi mereka pergi. Usah dikirm kepada jiran. Usah diikat kenalan rapat untuk menjaga ibu bapa kita. Kita yang bertanggungjawab terhadap mereka.
Saya belas melihat orang yang dibebani dengan “amanah menjaga” oleh anak-anak yang mengganggu ibadat orang lain ini. Saya belas melihat mereka berfikir untuk menjawab panggilan dari Malaysia. Resah & ibadat mereka siapa yang peduli?
Mohonlah yang membaca paparan ini, sampaikan, sebarkan belajar Ilmu Haji dan Umrah hingga hadham sebelum menunaikan ibadat Haji dan Umrah.Mohon juga  yang membaca paparan ini bertanggungjawablah kepada ibu bapa. Jangan dibeban amanah kepada orang lain. Mereka pergi untuk ibadat Haji dan Umrah bukan untuk menjadi pengganti tanggungjawab kita dan bukan pelapor kepada anda.
»»  read more

Saya bukanlah orang yang ada pendidikan formal dalam pengucapan awam. Sekadar membina kemahiran diri melalui “sekolah pengalaman”. Bermula dari sebagai guru di Sekolah Abu Bakar al-Baqir, pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh dan kini sebagai Pendakwah Bebas. Semuanya memberi dapatan yang berlainan. Di samping memperolehi teman dan sahabat yang sudi memberi komen yang membina.

Saya telah 13 tahun berkecimpung dalam pengucapan awam dengan memberi Kursus Asas Haji anjuran Tabung Haji kepada masyarakat.  Ini termasuklah sebagai Petugas Haji di Tanah Suci untuk  beberapa kali di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Namun, kali ini tahun 2014 agak memberi kejutan dalam Kursus Asas Haji. Sedikit lain, namun memberi kejutan, yang membuatkan saya sedikit “panik” di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Usai rehat 20 minit, saya menerima beberapa soalan bertulis untuk dijawab. Ketika hendak menyambung semula majlis ilmu yang tertangguh, saya toleh ke kanan memberi isyarat kepada Naib Pengerusi untuk menghulurkan semula soalan bertulis yang ada pada tangan beliau.  Beliau berjalan sambil membawa kerusi dan microphone di tangan.

Kenapa pula  tuan haji ni bawa kerusi?” Saya bermonolog sendiri. Dia  mengambil tempat di sebelah saya, sambil menghulur soalan untuk saya membuat agihan, apakah ianya menepati tajuk perbincangan.  Itu jangkaan awal saya.
Ok ....., yang ini masuk sesi kedua soal jawab. Yang ini saya jawab sekarang” Saya membuat usul setelah membuat agihan soalan dengan bacaan pantas.

Ok, terima kasih. Saya mulakan sekarang” saya  mohon izin kepada Naib Pengerusi untuk menyambung majlis.
"Tak apa Ustazah, saya bacakan. Ustazah jawab.”Ujarnya.

Ha?” saya sedikit terperanjat. Namun tiada peluang berfikir, apa lagi menolak. Hanya hadapi dengan sedikit “panik.” Saya gementar kerana takut lupa dengan apa yang disoal.
 Saya bacakan soalan, dan Ustazah akan jawab” Ujar Naib Pengerusi kepada peserta, sambil senyum dan terus membaca soalan pertama di microphone.

Ya Allahhhhh.... tolong  aku”.  Saya bermonolog lagi. Kemahiran mendengar diuji sekarang !!!! Dalam masa yang sama,  saya tarik nafas, kawal minda ..... Terpaksa fokus kepada soalan yang dibaca. Bagi menghilangkan gamam (klik perkataan) dan mengharmonikan kekalutan perasaan,  saya berinteraksi dengan peserta sebelum menjawab soal yang dibaca.  
 “ ... Hampir 13 tahun saya jadi penceramah haji, hari saya mendapat kejutan di masjid ini, sesi menjawab soalan ada orang bacakan. ” Kata-kata saya disambut dengan ketawa para peserta. Hanya itu yang mampu saya sebut sambil senyum, bagi mententeramkan diri.

Membuatkan saya teruja berada di masjid ni.  Rasa macam ada dekat TV Hijrah saya menyambung ayat tadi. Lagi peserta ketawa ceria. Sedang ketika itu saya terasa keadaan seperti “gelap seketika.” Allah Maha Mengetahui. Alhamdulillah menjawab soalan ketiga dan seterusnya saya semakin stabil.

Usai majlis penyampaian ilmu, Naib Pengerusi ketawa berderai dengan jawatankuasa yang lain bila saya maklumkan yang saya agak  tergamam seketika.

Saya perasan Ustazah panik.” Ujar Naib Pengerusi Tn Hj salleh, tapi lebih mesra dipanggil Cikgu Salleh.
Biasanya Ustazah ...., kami buat di penghujung waktu dengan Ustaz Hassan Latif. Tak pernah kami buat dipertengahan begini” Naib Pengerusi memberi penjelasan. Disokong oleh Cikgu Anuar, Setiausaha masjid.

Ooo... dah biasalah buat macam ni?” Ujarku. Mereka ketawa lagi.
"Bagus-bagus,......idea baru untuk saya kongsi dengan kawan-kawan nanti.” Ujar saya tanda setuju. Saya mengakui ada keindahannya apabila laksanakan begitu.

Saya menulis cerita ini kerana saya bukan siapa-siapa.  saya hanya orang biasa. Inilah pengalaman pertama saya berhadapan situasi begini. Saya bukan tidak pernah berforum di hadapan khalayak ramai. Biasanya saya hanya menyaksikan gugup dan gementar personaliti TV yang pertama kali beraksi di hadapan kamera TV. Dalam hati hanya mampu berkata: “ kesian dia .....pertama kali muncul. Mestilah dia gementar. “ Apabila personaliti yang sama muncul  kali kedua, saya bermonolog pula: “Ha.....dah ok. Dia dah berani menghadapi kamera.” Apabila panel tidak menjawab soalan, ini pula yang saya sebut: “Laaa ...... dia tak jawab soalan” Kadang-kadang;"Laaa....soalan satu lagi dia tak jawab"

Hari ini saya baru saya tahu “jerih” (klik perkataan) rasanya mendengar soalan sekali sahaja, kemudian terus jawab. Jika dalam sesi interaksi langsung dengan peserta di dalam kursus atau di Tanah Suci masih ada ruang bertanya kembali jika soalan kabur. Interaksi dua hala. Tapi kali ini kena dengar, ingat soalan dan jawab. Menghurai jawapan pula, biar jawapan menjelas dalam semua keadaan. Huh!!! bukan senang. Teringat saya kata-kata Tn Hj Nukman bin Fadzil, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Bimbingan Tabung Haji, kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) ketika taklimat akhir sebelum ke Tanah Suci tahun 2010: “ Ustaz-ustaz dan  Ustazah-ustazah jawapan biaq ghendang” Ujarnya dalam loghat Kedah. (Ghendang bermaksud rendang)
Sesi Soal jawab bersama-sama Tn. Hj Salleh, Naib Pengerusi Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang

Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas, Pulau Pinang. Di bahagian pintu masuknya terdapat perkhidmatan mesin pengeluaran wang BIMB

Bagi saya hidup ini sentiasa belajar dan belajar. Hari-hari belajar.

Fikir Ke Depan Muhasabah Ke Belakang

 
»»  read more

Pada 30 Jun 2013 saya ke Sekolah Abu Bakar al-Baqir (SABAR) , sekolah kegemaran saya. Popularitinya melonjak di Daerah Kerian. Semuanya mengimbau kenangan lalu ketika berkhidmat di sana. Dalam kesibukan saya kuatkan semangat turun padang kerana Allah, demi menyemai butiran mutiara mabrur untuk akaun peribadi di akhirat kelak.

Alhamdulillah, saya pulang dengan pulangan yang lumayan....Membaca bait-bait tulisan yang disusun oleh pelajar Tingkatan 5 SABAR membuatkan saya alpa yang masa rehat saya hari ini dilupuskan. Saya belajar redha dengan jadual sedikit tersasar dari perancangan. Tulisan mereka menyatakan benar-benar mereka telah jatuh cinta. Hanya 4-5 orang yang menyebut soal peperiksaan SPM. Selebihnya mereka meluahkan bait-bait cinta buat saya.....Alhamdulillah, saya pulang dengan pulangan yang lumayan sebagaimana yang saya nyatakan kepada mereka. Syukur ya Allah. Saya paparkan beberapa bait-bait cinta yang mengujakan:
Pelajar 1
 “...hari ni seronok sangat, rasa nak pergi haji & umrah yang betul-betul”

Pelajar 2
“Alhamdulillah ...dengan aktiviti hari ini saya dapat pengalaman dan gambaran bagaimana , melakukan ibadat haji & umrah... Mudah-mudahan saya dan keluarga dapat pergi ke  rumah Allah. Insya Allah.

Pelajar 3
“Ustazah ......Insya Allah  ada rezeki kita jumpa di Tanah Suci”

Pelajar 4
“Saya seronok dengan Simulasi Haji & Umrah. Saya rasa tak sabar nak mengerjakan ibadah Allah ini"

Pelajar 5
Walaupun terpaksa berjemur kat tengah-tengah padang tapi saya rasa sangat seronok sebab ustazah kata melakukan apa saja kerana Allah, Insya Allah semuanya berjalan lancar. Terima kasih ustazah ajar saya ilmu yang berguna.
Membaca perasaan pelajar yang satu ini membuatkan saya sebak, hampir-hampir tidak percaya. “Padang Arafah SABAR’ rupanya menyentuh hatinya:
"Assalamualaikum .... Saya nak ucapkan terima kasih dekat ustazah sebab mengajar saya. Saya kagum dengan ustazah. Saya begitu tersentuh ketika ustazah mengajar. Untuk pengetahuan ustazah saya menangis ketika berada di padang Arafah. saya berdoa agar ustazah panjang umur murah rezeki. Terima kasih ustazah."

 Solat sunat Ihram

Solat sunat ihram

Alhamdulillah saya bertemu butiran mutiara. Pelajar ini masih dalam wudhuk. Peluang mesti direbut untuk dia Solat Sunat Dhuha.

Ini juga butiran mutiara Solat sunat Dhuha.

Tawaf Umrah

Solat Sunat Tawaf

Doa sesudah Solat Sunat tawaf

Taklimat ringkas Sa'ei Umrah

Terima kasih kepada semua anakanda yang jatuh cinta dan semua yang mendoakan saya. Saya terperanjat dengan tulisan-tulisan positif yang anda paparkan. Kepada Ustaz  & Ustazah yang tek tertulis nama-namanya si sini selamat bertugas. Insya Allah ada butiran mabrur yang didambakan. Teruskan semangat berjamaah dalam bekerja di SABAR.




»»  read more

25 Jun 2013 tiba juga akhirnya dengan penuh tanda tanya. 2 jam memandu pergi, 2 jam memberi ceramah kepada peserta Kursus Intensif Haji Daerah Gerik anjuran Tabung Haji Gerik,  kemudian 2 jam lagi memandu semula untuk pulang. Tak terbayang semua itu di pemikiran saya: bagaimana untuk dilalui jadual perjalanan itu. Ipoh ke Gerik, Gerik ke Ipoh yang jumlah perjalanannya 268 km. Namun  bila tiba waktunya ianya berlaku terpaksa dihadapi juga.
 
Alhamdulillah dalam doa Solat Subuh sempat dicerita kepada Allah:
Ya Allah, jadikan perjalananku ini perjalanan ibadat. Pimpin aku, bimbinglah aku untuk aku bercakap, agar apa yang aku sampaikan mereka faham dan jadikanlah haji mereka nanti,  haji yang mabrur. Ya Allah peliharalah aku dari mengantuk ketika memandu pergi dan lindungilah aku dari mengantuk memandu ketika pulang. Beri aku kekuatan untuk aku ikhlas melalui semua ini.. Ya Allah, ya Allah.....tolong aku ya Allah....” .
( Benar-benar hati mengharap. Tiba-tiba hati jadi sebak sendiri. Hanya air mata bergenang di pelupuk mata. Entah kenapa... )
Dalam pemanduan yang bertemankan dua malaikat dengan lindungan Allah, bandar  Gerik menjadi hala tuju. Ketika pergi, pedal minyak mampu mencapai 120 km sejam. Ada ketekalan.  Dalam hati berdoa, “ Ya Allah pendekkkan perjalanan ini. Dekatkan Gerik.” Dalam hati terus berteka-teki. Mampukah aku? Bagaimana kalau mengantuk nanti?” Doa bercampur baur dengan hati yang walang. Bila memandu pulang , rupanya  hanya 110 km kelajuan yang mampu dicapai. Dalam hati sedar Allah sedang melindungi dari mengantuk. Alhamdulillah.......akhirnya pergi dan pulang tanpa mengantuk.
Kebiasaan yang lalu kalau selepas memberi ceramah di Lenggong dan memandu semula ke Gerik pasti mengantuk. Lagi hebat mengantuknya kalau lepas ceramah makan dulu, baru memandu. Mengenepikan jamuan bererti akan kelaparan. Pun begitu mengantuk juga. Ini bermakna makan atau tidak , mengantuk itu pasti. Memandu keluar dari Gerik  lepas ceramah, sememangnya saya akan tidur di mana-mana yang sesuai. Tiada pilihan. Ketika itu hanya Allah yang diharap sebagai pelindung diri.
Namun hari ini segala-galanya berubah, dengan tawaran perjalanan jadual yang diubah oleh  Tn Hj Rizal,  yang bertugas di Tabung Haji Gerik . Tujuan beliau untuk memudahkan saya juga. Saya yang membuat keputusan menerima dengan hati walang atas keupayaan diri sendiri dalam pemanduan. Hari ini hari yang hebat. Sepicing pun mata tidak disapa oleh mengantuk. Allah Maha Pelindung. Allahlah yang merubah rutin yang pernah dilalui.
Kebiasaan yang sudah-sudah,  saya akan tidur di Gerik untuk ceramah esoknya. Lagi pula saya amat rindu untuk jogging jalan kaki di landasan Lapangan Terbang Tentera di Gerik. Rindu pada peralatan senaman di bandar tersebut. Bandar Gerik sejuk dan nyaman. Mendamaikan jiwa  dengan kehijauan alam.  Aduhai Gerik!!!...., andai nafas ini nantinya masih dihela, Insya Allah kita ketemu lagi. Saat itu bukan lagi mimpi seperti hari ini: mimpi berjoging di landasan Lapangan Terbang Tentera Gerik.
  
Peserta Kursus Intensif Haji1434/H 2013M

Kereta  Kebal menjadi bulatan di hadapan Kem Tentera

Landasan Lapangan Tentera Gerik

Cara mendapatkan pernafasan yang panjang untuk pengucapan awam yang mantap
»»  read more

Dunia hari ini menyaksikan banyak tanggungjawab ibu bapa sudah diambil oleh institutsi pendidikan. Suami pula, sudah dapat isteri "ready made" pakaiannya beragama dari bapa mertua, entah ditambah entah tidak ilmu isteri tersayang. Entah diberi tidak, nafkah batin berbentuk ilmu kepada isteri. Entah diperingat entah tidak,  Sujud Tilawah dalam solat Subuh Jumaat. Yang dihafaz nafhkah "malam Jumaat." Namun yang mengimamkan isteri dalam solat Subuh Jumaat dengan surah al-Sajdah, ramai juga...Alhamdulillahh......Suami mengimamkan isteri di solat Subuh Jumaat,  sebab mereka sama-sama mengharapkan anak dan menantu yang tahu sujud Sajdah. Justeru mereka dahulu yang memulakannya. Syabas dan tahniah buat suami mithali.

Oleh kerana berada di institusi berkenaan maka mengajarkan ilmu agama menjadi tanggungjawab saya sebagai guru. Akan lunas tanggungjawab apabila pengajaran dan pembelajaran menepati Sukatan Pelajaran atau Pro Forma dan sebagainya. Yang penting melunasi garis panduan pihak berkenaan.
 
 Tanggungjawab pelajar atau murid pula melaksanakannya sebagai amalan. Untuk memahamkan harus melalui amali atau praktikal atau simulasi dalam apa juga keadaan. Bagi mendapatkan situasi sebenar, dalam keadaan payah sekalipun simulasi mesti dilaksanakan juga. Ruang tempat bukan alasan. Tujuannya cuma satu: biar mereka benar-benar faham dan mengerti. Justeru, berharaplah kepada Allah akan terhasil nanti gabungan antara ilmu dan amal.

Sebagai contoh Sujud Tilawah dalam solat, berapa ramai yang mampu melakukannya. Usah ditanya hafaz atau tidak surah al-Sajdah. Solat Subuh berjamaah dengan bacaan surah al-Sajdah sudah bertaburan antara yang terus sujud dan yang berhenti rukuk. Siapa yang hendak dipersalahkan??? Nak kata tak baca al-Quran, baca. Lebih ketara situasi yang saya perkatakan ini ketika di Tanah Suci. Rakyat Malaysia, rakyat Indonesia, rakyat Turki, rakyat Pakistan, semuanya sama. Ramai yang tidak mengetahui daripada yang memahami. Lepas itu pulak entah mereka tahu atau tidak apabila menyanggahi perlakuan imam, solatnya tidak sah.

Inilah yang dikatakan sudah jatuh dihempap tangga. Terdapatnya sujud ketika bacaan Surah al-Sajdah di dalam solat tak tahu. Lepas itu pula  solat masih diteruskan dalam keadaan tidak sah...Barangkali juga oleh kerana banyaknya rumah teres tak bertangga, maka ramailah yang tidak dihempap tangga sebagaimana juga tidak prihatin dengan Empat Sujud Dalam Islam (Susunan Dato’ Syeikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar.) Sampai bila akan berakhir???.... Sampai bila untuk tidak mengerti?
j-QAF Ambilan 2013
Membaca Surah al-Sajdah dalam solat
Sujud.....walau sepatutnya atas tempat sujud. Usah gusar ketika inilah bacaan Sujud dibaca dan ketika ini jugalah interaksi soalan akan ditanya supaya simulasi tidak sia-sia.
 Sujud Tilawah di luar solat pula ....
 
Assalamualaikum warahmatullah....
 
 
j-QAF Ambilan 2012
Membaca surah al-Sajdah dalam solat.
Jika ada yang malu-malu,  maka tunggu sehingga dia juga  sujud.
Alhamdulillah.....
 
Semoga sekelumit ilmu yang dititipkan anak-anak didik saya bijak nantinya mendidik murid dengan tunjuk cara. Banyakkan beramal supaya kurang teorinya. Terima kasih atas kerjasama semua.


»»  read more


Tanggal 21 Mei 2013 melakar sejarah peribadi yang tersendiri untuk diri sendiri. Mengadakan Kursus Ibadat Umrah di IPG Kampus Ipoh bukan lagi impian. Terima kasih kepada Kelab Rakan Perpustakaan IPGKI yang menghulur tangan menjadikannya realiti untuk dikongsi bersama. Kenangan manis buat saya. Bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tgh. Terima kasih kepada semua yang hadir. Yang tidak hadir, saya amat mengerti. Tugasan dan tanggungjawab juga perlu dilaksanakan. Doa saya semoga Allah mudahkan kita semua untuk tetap punya waktu untuk ibadat, tidak kira apa cara dan di mana. Yang penting dapat menggapai impian.
Hanya Isyarat Istilam. Realitinya begitulah hari ini. Sukar untuk menurut anjuran Rasulullah SAW untuk sentuh dan kucup Hajar al-Aswad. Bahkan untuk menyentuh dengan tongkat (jika bertongkat) atau dengan barang apa yang ada di tangan sekalipun tidak akan berlaku, kerana sentiasa ramai orang yang melakukan tawaf.
Tidak ketinggalan Staff IPGKI
 
Ketua Jabatan turut serta mengambil peluang.
 
Makanan yang sudah terhidang, bukan lagi suatu tarikan yang kuat. Replika Kaabah lebih mendominasi keadaan. Alhamdulillah, tahniah ...
 
Masing-masing melakukan pusingan dengan hati-hati.
 
Terima kasih kepada semua yang hadir.
Semoga ada ketentuan Allah untuk
Kursus Haji Bersiri Peringkat IPGKI
sementara nafas masih lagi dihela.



»»  read more

Kursus Asas Ibadat Haji Bersiri (KAH) selama 17 minggu  di masjid rata-rata sudah berakhir dan akan berakhir. Ini termasuklah di Masjid Parit Buntar, Perak. Kursus tersebut,  jika masih belum berakhir tergendala kerana,berlaku pertembungan dengan tarikh Pilihanraya ke 13.
Kursus terakhirnya adalah amali. Nampak mudah, tapi berat pikulan tanggungjawab yang digalas. Tambah-tambah hendak  menggambarkan sebagaimana situasi sebenar. Namun Alhamdulillah......sedikit sebanyak dapat direalisasikan. Tahniah peserta KAH 2013. Kepada yang terpilih gapailah Haji Mabrur. Kepada yang terpilih, pembelajaran Ibadat Haji & Umrah belum diikuti, Insya Allah saya sedia membantu.
 
 
Menjadikan dalam masjid sebagai simbolik kepad Arafah. Bagi menjadikannya lebih realistik atau mendekati keadaaan sebenar, peserta disyorkan untuk Solat Sunat Dhuha, bagi yang belum mengerjakannya. Mereka memberi kerjasama yang baik, hanya dengan sekali saranan
mereka  segera melakukannya
"Dengan Ustazah"......memang kena kutip anak batu. Walaupun di tangan sudahpun ada batu-batu kecil yang dibawa dari rumah. Namun bagi mendapatkan perasaan di Muzdalifah peserta memberi kerjasama yang cukup baik. Memang mereka mencari lagi anak batu(klik perkataan)

Apabila yang dinamakan "pembesar suara" membisu buat seketika di tempat melontar ......Pembesar suara asli mesti turun padang. Perjuangan mesti diteruskan. Masa itu emas.

Alhamdulillah.....da ok!!!Terima kasih dengan kepantasan peserta dan jawatankuasa bertindak.

Satu-satunya warga emas (sudah agak bongkok) yang saya nampak di mata, tidak langsung mengalah dengan umur beliau. Orangnya pendiam. Diiringi dua anak perempuan. Dia gagah bergerak dengan tenaga yang dimiliki. Hati saya yang terkial-kial di antara  membenarkan atau tidak membenarkan  beliau untuk turut serta. Suatu pengajaran untuk membaca blog ini-segeralah menabung. Jadikan menabung untuk menunaikan ibadat Haji adalah agenda utama dalam menguruskan kewangan.
Semuanya mudah dan cepat memberi kerjasama.

Solat Sunat Tawaf. Apabila semuanya rukuk berimamkan suara Ustazah....saya hanya mengharap bahawa mereka akan ingat dan khusyuk kepada Allah nantinya di Tanah Suci.
Semuanya sungguh-sungguh. Peserta kali ini membuatkan saya berfikir "ada kelainannya" yang tersendiri, yang tidak pernah saya rasai. Suatu perasaan, yang hanya Allah tahu jawapannya.

 Sae'i dengan sungguh-sungguh meskipun "Safa dan Marwahnya berhampiran pohon kelapa. "
»»  read more

Pada 9 Mei 2013 (Khamis) Lembaga Tabung Haji membuka kaunter di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Bermula sekitar jam 10.30 pagi hingga jam 2.00 petang seramai 50 orang pelajar telah mendaftar sebagai ahli Kelab TaHa@U. Seramai 19 orang pula membuka akaun di Tabung Haji. Syabas dan tahniah kepada anak didik yang berjaya menyertainya, meskipun sibuk dengan persiapan akhir sebelum peperiksaan, namun masih sempat untuk singgah di Kaunter TH. Tidak ketinggalan Pensyarah, dan kakitangan turut mengunjungi kaunter tersebut.

Beberapa keistimewaan Kelab TaHa@U:
·         Program Skim Latihan Graduan
·         Latihan amali/ praktikal
·         Program sukarelawan
·         Semasa musim haji dalam operasi haji tanah air
·         Program‘mentor dan mentee' di antara pelajar universiti dan pelajar sekolah.
·         Program kemasyarakatan TH/IPT di bawah Kelab TaHa@U
·         Dikenali sebagai Duta TaHa
·         Menyertai kelab aktiviti kelab seperti sukan dan riadah serta peraduan yang dianjurkan      bersama Berita Harian.
·         Diskaun harga di lebih 200 rangkaian rakan Kelab TaHa di seluruh Malaysia.

Seronok rasanya dapat turun membantu memeriahkan kaunter yang asalnya sunyi.
Anak-anak didik L3 IPG Kampus Ipoh yang rajin-rajin
Semoga ada di antaranya menjadi sukarelawan.

»»  read more

Hampir 13 tahun menjadi Pengkursus Ibadat Haji Tabung Haji (PEKTA) dan beberapa kali dapat berbakti untuk agama sebagai Petugas Haji di Tanah Suci dengan menyertai Tabung Haji adalah suatu pengalaman yang tiada tolok bandingnya. Ilmu yang diperolehi mesti diperkembangkan agar menjadi lebih subur.  Biasanya saya turun dalam Kursus Ibadat Haji dan Umrah di masjid-masjid. Tetapi kali ini turun membantu sahabat, membantu guru di IPG Kampus Ipoh secara lebih dekat, juga mengujakan. Lebih-lebih lagi dalam kesibukan tugas masing-masing, sehingga sukar mencari waktu. Namun masih diberi ruang oleh Allah untuk  membantu yang memerlukan. Alhamdulillah ..........Terima kasih Dr Anuar Abdullah, Dr Yahya Osman dan En Kamal yang membantu misi pertama saya terlaksana. Selamat berangkat Dr. Shahruddin Saari. Semoga mendapat Umrah yang maqbul. InsyaAllah. 
 
 
Langkah Satu....... 
 

 
Alhamdulillah .....tadinya dia belajar, akhirnya sudah boleh membantu.
»»  read more

Penerbangan pertama sudah tiba di Tanah Suci Madinah. Bererti, Petugas Haji 1433H/2012M telah mula menyantuni  tetamu Allah (dhuyufurrahman) Begitu juga jemaah haji Malaysia sudah mengunjungi Rasulullah SAW. 7 hari lagi berangkat, pula ke Makkah untuk ibadat umrah dan Haji....

Saat ini rindu lagi. Rindu pada Tanah Suci, rindu pada Tanah Haram. Rindu pada Nabi, rindu pada kelilingan tawaf. Rindu untuk menyantuni dhdufurrahman. Rindu untuk berbakti. Namun rindu terikat dengan panggilan-Nya sebagai tetamu Allah. Haji di Makkah pada Tahun 1885 di http://melayukini.net/2012/01/haji-di-mekah-tahun-1885-11-gambar

Semoga bacaan ini menjadi sebahagian daripada ubat rindu pada yang rindu.
»»  read more



Perginya jam 4.00 pagi. Usai tanggungjawab, dalam perjalanan pulang mencari sarapan pagi, di mana-mana sahaja. Jam sepuluh empat puluh lima dia akan bangun. Ambil makan tengahari, kemudian pergi lagi. Begitulah jadual hari-hari.


"Asyik tidurrrr...jer?" Kata rakan -rakan sebilik. "Yer lahhh....Ustazah pesan kalau tak ada perkara nak diperkatakan, baik diam . Lepas tu ustazah jugak pesan, bilik hotel ni cuma untuk tidur dan berehat. Pergi masjid. Saya jawab siap sebut nama ustazah lagi. Nama ustazah, Ai'sah Abol kan?" Soalnya semula setelah perasan saya diam memberi perhatian sungguh-sungguh dia bercerita.Kata-katanya membuatkan saya ketawa. Malupun ada rasanya bila dipulangkan semula butir-butir perkataan yang diberi. Saya ketawa kerana kesungguhannya..."Habis, mereka tak ke masjid?"


"Tak pergi ustazah....."


"Puan tak ajak ke mereka ke masjid.?"


"Semua ada suami ustazah."


"Ha?..." Melopong saya dibuatnya. Otak saya ligat berfikir kenapa tidak ke masjid.


"Bila nak pergi masjid kan ustazah, suami saya call, dah siap ke belum nak ke masjid?"


Kata mereka: " Bilalah... suami kita nak call untuk ke masjid......???"


"Kenapa ya tak ke masjid? Saya cuba mencari jawapan.


"Ada yang suaminya kaki pernah cedera, takut mudarat"


"Sorang tu sakit jantung. Entahlah ustazah." Keluhnya sendirian.


"Itu bukan alasan. Tahun 2001 emak saudara saya pesakit jantung. Doktor dipujuk supaya meluluskan pemergianya. Masih hidup lagi. Dah bersusia kot. Berapa umurnya?" tingkah saya. Dalam fikiran, saya mencari isu untuk 1433H.


"Dah lima puluh lebih." Katanya dalam simpati.


"Muda lagi. Masih gagah tu..." Terus mengumpan jawapan.


"Puan umur berapa?


"Lima puluh empat."


"Ha...!!! tu..., masih gagah?." Dia cuma senyum.


"Apa amalan?" Saya terus mencuba nasib mencari mutiara berharga.


"Tak tau lah ustazah... Di sini, sebelum pergi Makkah saya jogging keliling taman perumahan. Suami saya tak buat pun. Tapi di sana stamina dia yang lebih. Saya bertekad apa suami buat saya ikut. Sampai di sana saya banyak berdoa. Di sana apa suami saya buat, saya ikut. Suami baca doa, saya aminkan. Suami ajak tawaf, saya letak tangan di bahu beliau. Tawaf bersebelahan. Dia buka buku, baca doa keliling tawaf, saya aminkan. Dia bawa saya ke naik ke tingkat atas masjid, saya ikut. Suami saya ajak tawaf sunat, lepas Isyak saya ikut. Nak bergerak agaj jauh saya maklumkan, mohon izin. Jam sepuluh malam baru balik. Perginya Zohor, pulangnya Isyak nanti, saya tetap ikut." Katanya panjang lebar.


Fikiran saya membayangkan kehidupannya yang cukup sibuk: masjid, balik hotel untuk makan dan tidur sahaja. Dia akur dengan apa juga kata suami dalam apa juga keadaan.


"Makan malam di mana?"


"Kami beli. Biasanya kami makan roti Pakistan. Sedap." Katanya


"Ya betul sedap-sedap...." Sempat saya melayangkan fikiran ke tahun lepas, 1432H. Saya menikmatinya pada jam 12 tengah malam bersama Petugas Haji yang lain meraikan panel undangan di Maktab 80 selepas tamat program Forum Perdana.


Ketika Kursus Asas Haji Bersiri dia diam menumpu sepenuh perhatian. Duduk tanpa gelisah. Saya memang kenal dengan wajahnya. Manakan tidak duduknya paling hadapan.


"Apa amalan puan?" Saya mencari rahsia kekuatannya.


" Entahlah ustazah... Tapi saya buatlah minum air banyak yang macam ustazah ajarkan tu.


"Berjalan kaki sejauh 1 km, setiap hari. Peringkat awal saya menangis, ustazah..."katanya bercerita.


"Kenapa?"soal saya


"Suami saya sudah jauh ke hadapan, saya tertinggal di belakang. Tapi dia tunggu. Menangis bercucuran air mata, suami saya menyaksikannya."


Suami saya kata., " Kita bayar RM10,000.00 jangan disia-siakan kedatangan kita...Bukannya senang kita nak datang lagi..."


"Saya merayu kepada Allah, Ya Allah...tolonglah aku datang sini, aku nak ke masjid. Tolonglah ya Allah, ya Allah....Lama-lama dah ok."


Saya cuma senyum. Dalam hati malu lagi saya. Itulah kata-kata saya pada bakal tetamu Allah setiap tahun, : "...Tuan-tuan dan puan-puan bayar RM10,000.00 lebih kurang. Perit memerah keringat mencari rezeki. Lama menghimpun dana untuk ke Tanah Suci. Putih rambut di kepala baru berjaya. Alih-alih sembahyang lima waktu di hotel?. Tak ke masjid?. Baik tak payah ke sana. Rugi ....rugi......amat rugi!!!" Sudah hampir sepuluh tahun begitulah saya membakar semangat yang hendak ke Makkah dan Madinah.


Justeru itu, target setting saya untuk Kursus Asas Haji 1433H, suami motivasikan isteri, isteri berimamkan suami. Sering merayu kepada Allah. Suami beratur ambil makanan, isteri ambil tempat duduk. Apa yang penting? Kerjasama.....!!!. Pengurusan masa jadi pantas. Betulah apa kata Allah: "Suami pakaian bagi isteri, isteri pakaian bagi suami." Berbahagialah suami isteri yang saling menghulur tangan bukan menadah mengharap apa jua pemberian dalam hidup bersuami isteri. Berbahagia jugalah suami isteri yang mengutamakan Allah.

»»  read more


SOLAT HORMAT WAKTU (1)



Topik ini biasanya hanya popular di kalangan rakyat Malaysia yang hendak mengerjakan haji dan Umarah sahaja dan yang pernah ke Tanah Suci. Muzakarah Haji Kebangsaan telah memutuskannya. Kebanyakkan kita begitu asing dengan isu ini. Kita yang meninggalkan medan ilmu agama setelah tamat pengajian. Ada juga yang hanya mementingkan solat ketika hendak ke Tanah Suci sahaja.
Namun kita hari ini, adalah kita yang telah hijrah minda dan hasratnya; jatuh cinta dan jatuh hati pada ilmu. Tambah-tambah ilmu menambah keakraban kepada Allah. Berikut saya paparkan tulisan guru saya berkaitan:



Bagaimana Solat Hormat Waktu Mengikut 4 Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah

Oleh Al Mursyid Tuan Guru Dr. Zulkifli al-Bakri

KEPENTINGAN solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring. (riwayat al-Bukhari).
Tetapi ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.
Pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi. Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.
Menurut jumhur ulama, seseorang wajib solat dan wajib mengulanginya mengikut mazhab Hanafi dan Syafie. Mazhab Hanbali pula menganggap tidak wajib mengulanginya. Sedangkan mazhab Maliki mengikut pendapat yang muktamad, solatnya gugur.
Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menjelaskan hal ini berdasarkan mazhab yang empat:


1. MAZHAB HANAFI
Pendapat yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika terdapat tempat yang kering.
Dia tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.
Bagi orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.
Orang yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu mengulang solatnya.


2. MAZHAB MALIKI

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.
Kedudukannya sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.
Syarat wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.

3. MAZHAB SYAFIE

Menurut ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.
Dia tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah boleh didapati.
Kerana keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.
Orang yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca al-fatihah sahaja.
Pendapat paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas menyatakan hukum solat orang seperti ini.


4. MAZHAB HANBALI

Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu wajib dilakukan mengikut keadaan.
Kelemahan tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan. Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.
Seseorang yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.
Dia hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan tama’ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.
»»  read more

  • Salam Pertemuan




    Pembaca yang budiman,




    Mengisi ruang kecanggihan teknologi ICT, media ini sebagai penghubung di antara saya dan anda. Idea yang dipaparkan memang pendek isi maknanya. Pengisian yang diketengahkan untuk direnung dan difikir agar bersama kita celik akal. Sekadar untuk didik diri sendiri dan mengasah bakat dalam penulisan, selagi nafas boleh lagi dihela.




    "Kerja ke depan, Muhasabah ke Belakang"




    Sekian,



    Salam hormat dari saya




    Ai'sah Abol


    Blog Archive

    Label

    Pelawat

    blog counter free counters