10:48 PTG
Menjadi guru ada kepuasan yang tersendiri. Melihat hasil cita-cita dan harapan menjadi realiti pada tingkah laku anak didik lebih membuatkan terkasima. Diungkap dengan kata-kata sekalipun tidak akan sama dengan yang dihati. Seorang pembimbing, bukan selalunya betul, sentiasa benar juga tidak. Pandai melaksanakan apa yang dikata apatah lagi. Memberi idea berdasarkan ilmu yang cuma secubit, (entahkan kurang lagi?)bersekolahkan pengalaman, hanya itu sahaja untuk membantu anak-anak dan adik-adik yang baru bermula menjadi guru. Pesan saya cuma satu, kreatif dan inovatiflah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai murabbi, muaddib, muallim dan mudarris. Latihan mengajar memang sudah berakhir, tetapi gelanggang mendidik anak bangsa senantiasa terbuka. Yang pasti tidak akan diisytihar tutup. Teruskan berfikir bagaimana hendak menyampai ilmu yang sarat dalam keadaan santai, selagi nafas boleh dihela.
Membaca tulisan anak didik yang telah dilatih menghilangkan lelah penat bekerja seharian. Selesai membaca bagai menerima hadiah rasanya. Tulisan tersebut berbunyi:
APA YANG TELAH DICAPAI SEPANJANG PRAKTIKUM
Sepanjang keberadaan saya menjalani tempoh praktikum dan juga sebagai guru j-QAF di Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Said Tambahan (SK DAST), saya dapati banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan baru yang saya terima, samaada ilmu duniawi mahupun ilmu ukhrawi. Di sini saya telah melalui pelbagai pengalaman baru sebagai pendidik warga SK DAST. Segala ilmu dan panduan yang diterima daripada Pensyarah pembimbing saya, sangat memberi manfaat dan dapat saya jadikan contoh, alhamdulillah.
Di antara perkara yang telah dipelajari dan telah dicapai dengan jayanya ialah:
1) Pendekatan Zikrullah atau kembalikan ingatan murid-murid pada Allah. Contohnya:
a) Cara kawalan kelas bagi murid yang ramai.
Pada awal pengajaran, saya agak buntu dan kurang arif untuk mengawal kelas yang agak ramai muridnya. Saya berkongsi masalah ini bersama pensyarah saya dan beliau menyarankan saya untuk mengembalikan ingatan mereka pada Allah dan Alhamdulillah, ternyata ia amat berkesan dan saya dapat menyelesaikan masalah tersebut.
b) Melazimi lafaz zikrullah seperti Bismillah, Alhamdulillah dan Insya-Allah.
- Saya melatih anak didik saya untuk memulakan setiap perkara dengan Bismillah dan mengucapkan alhamdulillah setelah selesai menyiapkan tugasan yang diberikan bagi menggantikan ayat “saya sudah siap!”. Begitu juga dengan lafaz Insya-Allah sekiranya saya bertanyakan mereka sudah bersedia atau belum dan ternyata cara ini berjaya dilaksanakan dan murid-murid sudah biasa melafazkannya tanpa disuruh, Alhamdulillah.
2) Penyediaan Fail Bahan Bantu mengajar.
Alhamdulillah, fail ini dapat disediakan dengan baik setelah diberi tunjuk ajar oleh Pensyarah Pembimbing saya. Penyediaan ini banyak memberi manfaat dan akan digunakan bukan sahaja dalam tempoh praktikum, malah sangat bermanfaat untuk masa akan datang.
3) Menarik minat murid untuk menyertai kelas saya.
- Alhamdulillah, pengajaran dan pembelajaran saya telah menarik minat murid untuk menyertai kelas saya. Beberapa orang murid kerap berjumpa saya beberapa kali dan memujuk saya untuk masukkan mereka di dalam kelas saya. Terdapat seorang murid yang mengulangi permintaan yang sama sehingga 3 kali. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah minggu kesepuluh tempoh praktikum. Apa yang dapat saya ingatkan pada mereka ialah dengan berdoa sebanyak yang mungkin agar saya dapat mengajar mereka lagi pada masa-masa akan datang.
4) Didik cara bersalaman.
“AL-MUSOFAHAH” ialah istilah dalam Bahasa Arab yang memberi maksud bersalaman. Apa yang saya terapkan pada anak-anak murid Lelaki ialah supaya tidak bersalam dengan saya dan hanya mengucapkan terima kasih sahaja, walaupun mereka masih berada di peringkat sekolah rendah. Pendedahan sebegini perlulah diamalkan sedari kecil lagi agar mereka memahami batasan di antara lelaki dan perempuan. Bagi murid perempuan, mereka didedahkan untuk bersalam dengan guru setiap kali selesai sesi P & P.
5) Bersedia untuk belajar sebelum guru memasuki kelas.
Bagaimana caranya?. Caranya ialah dengan mengeluarkan buku Teks dan buku yang berkaitan dengan tajuk pelajaran yang saya ajar iaitu Pendidikan Islam Tahun 1. Alhamdulillah, apa yang saya perhatikan, sekiranya murid-murid saya ternampak saya dari jauh berjalan untuk masuk ke kelas mereka, masing-masing menjerit “ Ustazah Zuhailah sudah datang!!. Dan kedengaran suara lain yang menyebut: Eh, cepat-cepat keluarkan buku teks!. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan respon daripada anak-anak murid saya.
Ini adalah antara perkara yang saya capai sepanjang tempoh praktikum walaupun sebenarnya banyak lagi pengalaman lain yang begitu bermakna bagi saya. Walaupun begitu, setiap yang manis kadang-kala diuji dengan perkara yang tidak disangka-sangka. Sebagai hambaNya saya tetap menerima segala cubaan dan dugaan ini dengan hati yang lapang dan redha. Firman Allah: “Tidak akan dibebankan seseorang melainkan itulah kesanggupannya”.
Sebagai pendidik bukan mudah untuk kita mendidik insan lain. Ia memerlukan pengorbanan masa, emosi, tenaga serta interlektual yang teramat tinggi. Ini kerana kita semua sebagai pendidik mahu melahirkan insan yang ‘Kamil’, bertepatan dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang ingin melahirkan modal insan yang berguna.
Di sekolah ini jugalah saya menimba pengalaman untuk berpartisipasi dengan organisasi yang ditubuhkan. Kini, barulah saya mengerti bahawa bukan mudah untuk kita mengetuai sesebuah organisasi tanpa ilmu secukupnya. Kita perlulah mempunyai sifat amanah, toleransi dan sikap bertanggungjawab untuk memantapkan organisasi kita. Tanpa ada kejujuran dan keikhlasan dalam setiap amalan, sukar untuk kita perolehi Rahmat Allah S.W.T.
6. Menarik minat murid untuk menyertai kelas saya
Alhamdulillah, pengajaran dan pembelajaran saya telah menarik minat murid untuk menyertai kelas saya. Beberapa orang murid kerap berjumpa saya beberapa kali dan memujuk saya untuk masukkan mereka di dalam kelas saya. Hal ini berlaku di dalam kelas Tahun Empat Anggun. Terdapat seorang murid yang mengulangi permintaan yang sama sehingga 3 kali. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah minggu kesepuluh tempoh praktikum. Apa yang dapat saya ingatkan pada mereka ialah dengan berdoa sebanyak yang mungkin agar saya dapat mengajar mereka lagi pada masa-masa akan datang.
7. Bersedia untuk belajar sebelum guru memasuki kelas.
Saya sentiasa berpesan kepada murid-murid saya agar mengeluarkan buku Teks dan buku yang berkaitan dengan tajuk pelajaran yang saya ajar iaitu Pendidikan Islam Tahun 1 sebelum saya masuk ke kelas. Alhamdulillah, apa yang saya perhatikan, sekiranya murid-murid saya ternampak saya dari jauh berjalan untuk masuk ke kelas mereka, masing-masing menjerit “ Ustazah Zuhailah sudah datang!!. Dan kedengaran suara lain yang menyebut: Eh, cepat-cepat keluarkan buku teks!. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan respon daripada anak-anak murid saya.
8. Memberi pendedahan tentang batas pergaulan dan bersalaman.
- “AL-MUSOFAHAH” ialah istilah dalam Bahasa Arab yang memberi maksud bersalaman. Apa yang saya terapkan pada anak-anak murid Lelaki ialah supaya tidak bersalam dengan saya dan hanya mengucapkan terima kasih sahaja, walaupun mereka masih berada di peringkat sekolah rendah. Pendedahan sebegini perlulah diamalkan sedari kecil lagi agar mereka memahami batasan di antara lelaki dan perempuan. Bagi murid perempuan, mereka didedahkan untuk bersalam dengan guru setiap kali selesai sesi P & P.
9. Mengajar Huruf Hijaiyyah dengan mengaitkan dengan bunyi lain
Semasa kelas tasmik dijalankan, saya berjaya melatih murid saya membaca Iqra’ dengan baik dan menjaga makhraj-makhraj huruf dengan betul. Saya mengaitkan contoh bunyi huruf Dhod dengan bunyi Doraemon, bunyi Huruf Sod dengan haiwan sotong dan sebagainya. Hal ini sangat membantu mereka untuk mengingati dan menyebut huruf dengan lebih baik tanpa kekeliruan. Ada beberapa murid saya yang menunjukkan peningkatan dalam mengingat huruf-huruf yang hampir sama bentuknya.
10. Penggunaan Teknologi Terkini
Penggunaan ICT dalam P & P sangat memberi Impak dan kesan yang positif kepada anak murid saya. Daya tarikan yang ada pada setiap slaid yang saya pamerkan inilah yang menyebabkan murid saya kerap bertanya dan memohon untuk memasuki kelas bersama saya. Untuk matapelajaran Pendidikan Islam Khatam al-Quran, kelas saya bukan semata-mata membaca al-Quran tetapi mempunyai pengisian lain yang sungguh bermanfaat dan berkesan.
11. Menutup aurat
Terdapat beberapa murid tahun satu di kelas saya yang tidak memakai tudung di sekolah. Saya mengambil peluang untuk berpesan kepada beberapa orang murid perempuan di kelas saya agar mereka memakai tudung ketika tasmik. Alhamdulillah dengan cara ini, saya dapat menarik secara perlahan-lahan murid tersebut dan mengambil peluang untuk menyelitkan nilai-nilai keislaman dalam diri agar murid tersebut terbiasa memakai tudung yang menjadi tanggungjawab sebagai hamba Allah di muka bumi ini untuk memelihara aurat daripada pandangan mata ajnabi. Alhamdulillah, murid tersebut bukan sahaja memakai tudung ketika waktu tasmik, malah sepanjang berada di sekolah. Semoga anak-anak didik saya sentiasa dipelihara oleh Allah SWT, ameeen.
Zuhailah Sulaiman
Tiga Sahabat ......yang sering saling berkongsi idea dan saling tegur menegur. Zuhailah dan Amzari sudah selesai praktikumya, sedang Yuzrim baru mengorak langkah, namun gigih mendekat dan tekun berguru. Tahniah buat anak-anak didik yang gigih memperhebat pengajaran dan pembelajaran. Cari dan teruslah meraih cemerlang disisi Allah.
0 Responses to "Saya gembira ..."
Catat Ulasan