9:34 PG
Di bawah ini adalah paparan tulisan daripada salah seorang anak didik yang diselia untuk tahun 2012 yang telah berakhir pada 27 April 2012 (tanpa saya edit). Kepada anak didik yang seterusnya atau kepada yang membacanya ambillah teladan andai ianya boleh menyumbang. Bukan tujuan untuk menunjuk pandai, sekadar menyampai untuk dikongsi bersama agar ustazah dan ustazah menjadi
orang yang tampak ketrampilannya
sebagai seorang murabbi, muaddib, mursyid dan muallim yang dinamik,
sejajar dengan tema hari guru
"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara".
PENGALAMAN MENYEDIAKAN FAIL BBM
Pada 30 Januari 2012 bermulalah sesi praktikum bagi semua pelatih j-QAF ambilan Januari 2011. Setiap pelatih perlu menjalani praktikum di sekolah yang telah ditetapkan selama lebih kurang 12 minggu, iaitu sehingga 27 April 2012. Sepanjang tempoh praktikum ini, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan terutamanya mengenai penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan Fail Portfolio Praktikum.
Sebagai seorang guru pelatih, setiap hari saya menjalani rutin wajib iaitu menyediakan RPH dan BBM. Pada minggu awal praktikum, saya terpaksa bersengkang mata bagi menyiapkan RPH dan BBM untuk pengajaran pada hari yang berikutnya. Memandangkan saya masih belum mahir, maka saya mengambil masa yang agak lama untuk menyediakan RPH dan BBM tersebut. Terutamanya apabila terpaksa memikirkan aktiviti apa yang perlu dilakukan dan apakah bahan yang perlu disediakan untuk pengajaran dan pembelajaran (p&p) esok. Sewaktu di dalam praktikum inilah saya banyak belajar mengenai pengurusan masa, penyediaan BBM dan perancangan p&p.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjTrp3oLIW6P7OXMBJ9r5DHstP8XvbXgWj9XXdDkJpszr0ShF9BWkeNaXiiwe2OlzUZnHk1dcskYJzJMsBw15SHTU-Y0uVnSIJGqdeqUF9kWHWYPSYgF6lWbghmlfgctD6SqkeQPaBBqys/s320/blo3.jpg)
Sesungguhnya Allah itu adalah sebaik-baik perancang. Tanggal 16 Februari 2012 iaitu hari Khamis saya dikejutkan dengan kehadiran Pensyarah Pembimbing. Perasaan saya bercampur baur menerima kehadirannya. Namun, Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Banyak ilmu, bimbingan dan nasihat yang saya terima. Antara perkara yang paling terkesan di hati adalah apabila Ustazah sering mengingatkan agar melakukan sesuatu biarlah ikhlas kerana Allah. Itulah ilmu yang paling sukar untuk dikuasai. Walau bagaimanapun, sentiasalah berusaha ke arah itu. Insyaallah, segalanya pasti mudah.
Selain itu, Ustazah telah mengajar saya menjadi seorang yang sistematik, tersusun dan kemas dalam bekerja. Alhamdulillah, memang itulah yang saya harapkan kerana saya memang kurang mahir dalam hal-hal seperti ini. Setelah berbincang dan berkolaborasi dengan Ustazah, banyaklah idea dan cadangan yang ustazah kongsikan bersama. Antaranya adalah Ustazah menyarankan agar menyediakan fail bahan bantu mengajar untuk setiap mata pelajaran yang diajar. Pada mulanya, saya memang terkebil-kebil semasa menerima idea ini. Mana tidaknya, saya memang kurang faham maksud Ustazah. Mungkin kerana tiada contoh, jadi saya tidak dapat membayangkannya. Disebabkan tidak berani bertanya, saya diamkan sahaja. Apa yang saya tahu, cuba sahaja seperti yang disarankan. Jika salah, ustazah pasti akan bimbing. InsyaAllah, Allah juga akan bantu. Begitulah harapan saya. Bermula dari sini, saya pun mengambil langkah pertama iaitu keluar memborong fail dan plastik untuk penyediaan fail tersebut.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar. Alhamdulillah selang beberapa hari saya mendapat contoh fail BBM daripada Ustazah menerusi emel. Alhamdulillah, ia sangat-sangat membantu. Maka bermulalah operasi saya membuat perancangan untuk penyusunan semula bahan yang akan dimuatkan ke dalam fail mengikut mata pelajaran.
Langkah pertama, saya terpaksa mengumpul semula bahan-bahan yang pernah saya buat dan telah digunakan sebelum ini. Ada yang disimpan dalam kotak di sekolah dan ada juga di rumah. Kemudian bahan-bahan tersebut perlu dikelaskan mengikut mata pelajaran. Setelah selesai, saya perlu membuat pengkelasan yang kedua pula iaitu mengikut tajuk, hari dan minggu pengajaran. Untuk itu, sudah pasti rujukan perlu dibuat pada RPH yang lepas. Kemudian barulah boleh dimasukkan ke dalam plastik dan disusun semula dalam fail mengikut minggu, bermula dari minggu pertama praktikum. Satu demi satu fail saya siapkan. Fail BBM Bahasa Arab Tahun 2, Pendidikan Islam (al-Quran) Tahun 1 dan Pendidikan Islam (Jawi) Tahun 1. Setelah dua hari suntuk saya melakukannya, Alhamdulillah tiga buah fail BBM berjaya dihasilkan. Walaupun begitu, saya masih ragu-ragu dengan hasil kerja tersebut kerana saya tidak mengikut 100% contoh yang Ustazah beri. Saya ubah mengikut kemudahan dan keselesaan saya menggunakannya nanti. Saya bimbang sekiranya apa yang saya buat itu adalah salah. Tambahan pula, banyak masa yang saya peruntukkan untuk menghasilkannya.
Setelah itu, setiap hari yang saya lalui sentiasa penuh dengan debaran. Berdebar menanti kehadiran Ustazah untuk kali yang kedua dan berdebar untuk menunjukkan hasil kerja saya. Tanggal 22 Mac 2012, maka berakhirlah penantian tersebut dengan kehadiran Ustazah ke sekolah untuk penyeliaan pertamanya. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Ustazah juga berpuas hati dengan hasil kerja tersebut walaupun terdapat sedikit penambahbaikan yang perlu dibuat. Sesuatu yang tidak disangka-sangka. Alhamdulillah, Alhamdulillah dan Alhamdulillah. Itu sahaja yang mampu saya lafazkan. Namun begitu, masih banyak lagi yang perlu saya belajar sebenarnya. Insyaallah, moga Allah mudahkan.
Akhir sekali, terima kasih diucapkan kepada Ustazah atas idea dan bimbingan yang diberikan. Rasa sangat bertuah kerana terpilih untuk menjadi anak didik Ustazah. Semoga Allah merahmati Ustazah sekeluarga. Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh,
INARAH BT AHMAD FARID
KPLI-JQAF Pendidikan Islam 1
(Ambilan 2011)
0 Responses to ""Anak Didik Inovatif & Kreatif"."
Catat Ulasan