Perginya jam 4.00 pagi. Usai tanggungjawab, dalam perjalanan pulang mencari sarapan pagi, di mana-mana sahaja. Jam sepuluh empat puluh lima dia akan bangun. Ambil makan tengahari, kemudian pergi lagi. Begitulah jadual hari-hari.


"Asyik tidurrrr...jer?" Kata rakan -rakan sebilik. "Yer lahhh....Ustazah pesan kalau tak ada perkara nak diperkatakan, baik diam . Lepas tu ustazah jugak pesan, bilik hotel ni cuma untuk tidur dan berehat. Pergi masjid. Saya jawab siap sebut nama ustazah lagi. Nama ustazah, Ai'sah Abol kan?" Soalnya semula setelah perasan saya diam memberi perhatian sungguh-sungguh dia bercerita.Kata-katanya membuatkan saya ketawa. Malupun ada rasanya bila dipulangkan semula butir-butir perkataan yang diberi. Saya ketawa kerana kesungguhannya..."Habis, mereka tak ke masjid?"


"Tak pergi ustazah....."


"Puan tak ajak ke mereka ke masjid.?"


"Semua ada suami ustazah."


"Ha?..." Melopong saya dibuatnya. Otak saya ligat berfikir kenapa tidak ke masjid.


"Bila nak pergi masjid kan ustazah, suami saya call, dah siap ke belum nak ke masjid?"


Kata mereka: " Bilalah... suami kita nak call untuk ke masjid......???"


"Kenapa ya tak ke masjid? Saya cuba mencari jawapan.


"Ada yang suaminya kaki pernah cedera, takut mudarat"


"Sorang tu sakit jantung. Entahlah ustazah." Keluhnya sendirian.


"Itu bukan alasan. Tahun 2001 emak saudara saya pesakit jantung. Doktor dipujuk supaya meluluskan pemergianya. Masih hidup lagi. Dah bersusia kot. Berapa umurnya?" tingkah saya. Dalam fikiran, saya mencari isu untuk 1433H.


"Dah lima puluh lebih." Katanya dalam simpati.


"Muda lagi. Masih gagah tu..." Terus mengumpan jawapan.


"Puan umur berapa?


"Lima puluh empat."


"Ha...!!! tu..., masih gagah?." Dia cuma senyum.


"Apa amalan?" Saya terus mencuba nasib mencari mutiara berharga.


"Tak tau lah ustazah... Di sini, sebelum pergi Makkah saya jogging keliling taman perumahan. Suami saya tak buat pun. Tapi di sana stamina dia yang lebih. Saya bertekad apa suami buat saya ikut. Sampai di sana saya banyak berdoa. Di sana apa suami saya buat, saya ikut. Suami baca doa, saya aminkan. Suami ajak tawaf, saya letak tangan di bahu beliau. Tawaf bersebelahan. Dia buka buku, baca doa keliling tawaf, saya aminkan. Dia bawa saya ke naik ke tingkat atas masjid, saya ikut. Suami saya ajak tawaf sunat, lepas Isyak saya ikut. Nak bergerak agaj jauh saya maklumkan, mohon izin. Jam sepuluh malam baru balik. Perginya Zohor, pulangnya Isyak nanti, saya tetap ikut." Katanya panjang lebar.


Fikiran saya membayangkan kehidupannya yang cukup sibuk: masjid, balik hotel untuk makan dan tidur sahaja. Dia akur dengan apa juga kata suami dalam apa juga keadaan.


"Makan malam di mana?"


"Kami beli. Biasanya kami makan roti Pakistan. Sedap." Katanya


"Ya betul sedap-sedap...." Sempat saya melayangkan fikiran ke tahun lepas, 1432H. Saya menikmatinya pada jam 12 tengah malam bersama Petugas Haji yang lain meraikan panel undangan di Maktab 80 selepas tamat program Forum Perdana.


Ketika Kursus Asas Haji Bersiri dia diam menumpu sepenuh perhatian. Duduk tanpa gelisah. Saya memang kenal dengan wajahnya. Manakan tidak duduknya paling hadapan.


"Apa amalan puan?" Saya mencari rahsia kekuatannya.


" Entahlah ustazah... Tapi saya buatlah minum air banyak yang macam ustazah ajarkan tu.


"Berjalan kaki sejauh 1 km, setiap hari. Peringkat awal saya menangis, ustazah..."katanya bercerita.


"Kenapa?"soal saya


"Suami saya sudah jauh ke hadapan, saya tertinggal di belakang. Tapi dia tunggu. Menangis bercucuran air mata, suami saya menyaksikannya."


Suami saya kata., " Kita bayar RM10,000.00 jangan disia-siakan kedatangan kita...Bukannya senang kita nak datang lagi..."


"Saya merayu kepada Allah, Ya Allah...tolonglah aku datang sini, aku nak ke masjid. Tolonglah ya Allah, ya Allah....Lama-lama dah ok."


Saya cuma senyum. Dalam hati malu lagi saya. Itulah kata-kata saya pada bakal tetamu Allah setiap tahun, : "...Tuan-tuan dan puan-puan bayar RM10,000.00 lebih kurang. Perit memerah keringat mencari rezeki. Lama menghimpun dana untuk ke Tanah Suci. Putih rambut di kepala baru berjaya. Alih-alih sembahyang lima waktu di hotel?. Tak ke masjid?. Baik tak payah ke sana. Rugi ....rugi......amat rugi!!!" Sudah hampir sepuluh tahun begitulah saya membakar semangat yang hendak ke Makkah dan Madinah.


Justeru itu, target setting saya untuk Kursus Asas Haji 1433H, suami motivasikan isteri, isteri berimamkan suami. Sering merayu kepada Allah. Suami beratur ambil makanan, isteri ambil tempat duduk. Apa yang penting? Kerjasama.....!!!. Pengurusan masa jadi pantas. Betulah apa kata Allah: "Suami pakaian bagi isteri, isteri pakaian bagi suami." Berbahagialah suami isteri yang saling menghulur tangan bukan menadah mengharap apa jua pemberian dalam hidup bersuami isteri. Berbahagia jugalah suami isteri yang mengutamakan Allah.

0 Responses to "Target setting lagi...!!!"

Catat Ulasan

  • Salam Pertemuan




    Pembaca yang budiman,




    Mengisi ruang kecanggihan teknologi ICT, media ini sebagai penghubung di antara saya dan anda. Idea yang dipaparkan memang pendek isi maknanya. Pengisian yang diketengahkan untuk direnung dan difikir agar bersama kita celik akal. Sekadar untuk didik diri sendiri dan mengasah bakat dalam penulisan, selagi nafas boleh lagi dihela.




    "Kerja ke depan, Muhasabah ke Belakang"




    Sekian,



    Salam hormat dari saya




    Ai'sah Abol


    Blog Archive

    Pelawat

    blog counter free counters