Ramai orang mengetahuinya, namun alasan berlapis-lapis. Tahu, tapi tidak bersedia untuk memberi ruang waktu. Senang dan lenang barangkali. Masih dalam zon selesa tentunya. Ramai juga orang tidak mengendahkannya. Meski besar berganda laba yang bakal diraih, namun tidak dipeduli. Senang, mudah, tidak memerlukan kos, tidak merebut waktu yang panjang, masih dibiar berlalu begitu sahaja.


Yang tidak mengetahui satu hal. Diajar supaya mengerti untuk laksana dan tunai, tidak yakin pula. Tahu, tapi takut mengganggu kelangsungan agenda yang lebih besar, iaitu makan. Walhal, pada hal jika dianalisis masa untuk melunaskannya dan melangsaikannya akan menambah nilai bukan setakat dirinya malah individu tersayang dalam tanggungannya.


Ruang waktu yang dia miliki sebenarnya cukup hebat. Ruang waktu yang dia empunya berlebihan. Namun kerana alasan sudah berlapis walau tidak setinggi menara Petronas, atau alasan tidak serendah pokok Senduduk, andai telinganya ditutup daripada mendengar, hatinya sudah berkata tidak, mulut saja yang mengakui, maka tidaklah jawapannya.


Betullah kita ini sentiasa rugi. Rugi dengan keuntungan yang sudah di depan mata. Dalam bab lain kental usahanya. Gigih mengharung cabaran. Tinggi hasrat gapaian peratusan dalam prestasi tahunan di tempat kerja. Rancangan semester dan rancangan tahunan hebat. Pelan tindakan: Plan, Do, Check and Action terpukau yang mendengarnya. Proposalnya lengkap. Vivanya cemerlang. Mempersona pembentangan kertas kerja. Sempurna dan molek laporan Key Performance Indicators (KPI). Tapi yang satu ini masih kandas. Detik celik akalnya terhenti sebentar barangkali, dek besarnya laba yang dijanji.


Entah bila hendak berubah. Hijrah pun jadilah. Sayakah orangnya yang tidak mampu mengerjakan Tahajjud 2 rakaat dalam keindahan Ramadhan al-Mubarak, Ramadhan Kareem? Sayakah orang yang masih bersoaljawab untuk melaksanakannya? Kenapa saya masih gagal merebut waktu, sedang peluang sudah di depan mata?. Bagaimana nanti, jika saat ini , andai esok saya telah dipeluk erat oleh bumi? Dengarkah jeritanku untuk dikembalikan supaya 2 rakaat itu dapat kurebut kembali? Dapatkah?

0 Responses to "Ramai yang mengetahuinya..."

Catat Ulasan

  • Salam Pertemuan




    Pembaca yang budiman,




    Mengisi ruang kecanggihan teknologi ICT, media ini sebagai penghubung di antara saya dan anda. Idea yang dipaparkan memang pendek isi maknanya. Pengisian yang diketengahkan untuk direnung dan difikir agar bersama kita celik akal. Sekadar untuk didik diri sendiri dan mengasah bakat dalam penulisan, selagi nafas boleh lagi dihela.




    "Kerja ke depan, Muhasabah ke Belakang"




    Sekian,



    Salam hormat dari saya




    Ai'sah Abol


    Blog Archive

    Pelawat

    blog counter free counters