Kebiasaanya, juga kebanyakkannya, ramai yang ke Tanah Suci ditemani oleh mahram. Itulah juga sepatutnya. Suami bawa isteri, Isteri menemani suami. Ada juga yang menemani ibu bapa masing-masing. Tidak ketinggalan yang pergi dengan ditemani oleh perempuan-perempuan yang Thiqah.
Isteri yang ingin mengerjakan umrah sunat , pergilah bersama suami. Suami enggan mengerjakan umrah sunat banyak kali. Sekadar beberapa kali, wahai isteri …patuhlah. Usah dikejar umrah sunat kalau suami tidak izin. Begitu juga ke masjid, jika suami tidak betah berlama di masjid, pulanglah menyertai suami ke hotel. Itulah yang terbaik.
Patuh kepada suami adalah lebih utama buat seorang isteri, berbanding solat sunat di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Kerjakan sahaja solat sunat di hotel. Masih mendapat ganjaran daripada Allah. Jumhur ulama’ mengatakan 100 ribu kali gandaan pahala di bumi Makkah ialah di Tanah Haram. Jangan lupa wahai isteri ada juga ulama’ berpendapat 100 ribu hanya dikhususkan kepada solat di Masjidil Haram (Masjidil Haram)
Kalau suami pula ingin berlama di masjid, isteri ajak pulang ke hotel. Bagaimana ya? Mudah saja, raikanlah keinginannya. Barangkali dia kepenatan atau kurang sihat. Iring isteri pulang ke hotel, sampai ke pintu bilik. Usah dibiar dia pulang dengan orang lain. Jangan dicadang pulang sendiri ke hotel, walau di Malaysia, isteri kita berdikari ke tempat kerja, pergi berkursus atau ke mana-mana kerana isteri bijak menjaga maruah diri. Elakkan dari berbuat demikian wahai suami. Biar di mana, biar bila-bilapun: " Isteri saya tanggungjawab saya". Itulah amanah yang kita terima sewaktu ijab dan qabul dulu. Kemudian kembalilah ke Masjidil Haram atau ke Masjid Nabawi, menyambung ibadat khusus kepada Allah s.w.t.
Atau pilihan lain yang lebih baik ialah, dari sekarang ajarlah, didiklah isteri untuk rajin mengerjakan ibadat-ibadat sunat. Isteri saya tanggungjawab saya. Atau lebih molek lagi, berapa banyak solat sunat yang saya kerjakan, Insya Allah saya akan pastikan isteri saya juga berpengetahuan mengenainya.
Untuk isteri pandai-pandailah berdakwah supaya suami rajin mengerjakan ibadat-ibadat sunat. Kalau tidak berjaya usah dipaksa. Tugas kita hanya menyampai, bukan kita pemberi hidayah, meskipun orang itu kita cukup sayang.
Kesimpulan yang boleh saya sampaikan ialah biar duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Kalau kita dikata jodoh yang sepadan sebab sama cantik, begitu juga dalam ibadah wajib mahupun sunat. Biar sama seiring, seia sekata. Biar ibadat isteri imamnya adalah suami.
Apa yang saya paparkan, bukan semata untuk di Tanah Suci, bahkan di negara sendiripun, di mana sekalipun, isteri adalah tanggungjawab suami dan isteri patuhlah dan bergeraklah dengan izin suami. Semua itu untuk kebahagiaan bersama di dunia dan akhirat, Insya Allah.
"Isteri Saya Tanggungjawab Saya"
0 Responses to "Isteri Saya Tanggungjawab Saya"
Catat Ulasan