11:21 PTG
Dalam kesibukan mencari ilmu, memberi Kursus Intensif
Haji dijemput pula memenuhi slot Kursus Pemantapan Rohani bagi Sekolah Titi
Serong, Parit Buntar. Nak ditolak orang mengharap. Sedang ketika itu tidak menang tangan
rasanya mengurus urusan kehidupan. Tajuk memang mudah tapi tiada bahan.
Menambah berat untuk dipikul bakal audien saya murid Tahun 6 sekolah Rendah
Titi Serong. Saya bukanlah orang yang mahir berkomunikasi dengan murid sekolah
rendah. Saya bekas guru di Sekolah Abu Bakar al-Bakir. Suatu ketika dulu
mendapat jemputan begini akan saya tolak dengan alasan saya: “...memang saya
tak pandai berkomunikasi dengan audien murid sekolah rendah. Saya bimbang apa
yang saya sampaikan tidak mencapai ke sasaran. Mohon cari orang lain dahulu.
Kalau tak ada baru saya turun....” Namun kali ini tidak mampu lagi saya
tolak kerana yang menjemput adalah bekas murid saya di Sekolah Abu Bakar Al-Bakir.
Hari ini dia kawan, dia sahabat dan guru saya juga. Ada kalanya saya melihat diri saya ada dalam
dirinya. Apa yang ada dalam pemikirannya ada dalam minda saya. Perangai kami
macam dua kali lima pulak. Ketegasannya juga saling tak tumpah. Itulah Ustazah
Nurul Husna Abdul Rahim.
Hari ini 4
Jun 2014, berbekalkan pengalaman sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru,
Kampus Ipoh saya beranikan diri untuk turun. Saya hanya memikirkan saya perlu
turun dengan praktikal bukan lagi teori. Dalam minda saya hanya berazam untuk
saya perturunkan teori dan amali secara serentak dan pantas. Akibat asakkan
minda yang sarat untuk mencapai amali yang terbaik dan mantap kepada anak-anak
yang masih rebung, pengalaman pula belum ada, menjadikan saya lelah sendiri. Usai majlis, saya pulang
dengan pemanduan yang cukup perlahan. Baru terasa hilang segala tenaga. Tadinya
bertenaga, kini terkulai tak bermaya. Sesi hanya dua jam, namun penat tidak
terungkap dengan kata-kata. Tambahan pula sebelah paginya Kursus Intensif Haji
kepada bakal tetamu Allah. Slide hanya disediakan dalam tempoh beberapa hari.
Alhamdulillah ...syukur. Ketika hari menginjak senja saya mendapat
berita dari Ustazah Nurul Husna. Bagaikan terbayar rasanya, lelah yang di siang
hari. Dia memaklumkan salah seorang murid sudah tidak sabar untuk solat hajat,
sedang hari belum lagi maghrib. Menambah riang hati apabila malam ini pula saya
membaca tulisan seorang murid untuk menjadi seorang professor dalam senarai
hajatnya untuk dipersembahkan dalam “ceritanya kepada Allah” dalam solat
hajatnya nanti.
0 Responses to "Menabur Ilmu, Menghapus Ikut-ikutan"
Catat Ulasan