Muamalah dalam bahasa mudah ialah tatacara atau
peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan
masing-masing yang berlandaskan syariat Allah SWT yang melibatkan bidang
ekonomi dan sosial Islam .
Jual beli perkhidmatan daripada seorang rakan, membeli
barangan daripada seorang sahabat, membeli harta daripada seorang kenalan atau dari seorang
yang tidak dikenali atau daripaada pemaju, asasnya adalah sama. Dalam transaksi
muamalah perkhidmatan, barangan atau sebagainya amanah adalah tonggak utama. Seorang
lelaki agong yang namanya Muhammad bin Abdullah pernah berpesan bahawa, penjual
yang jujur akan berada di dalam syurga .
Diriwayatkan hadith dari Abi Hamzah hadith dari hasan hadith dari Abi
Said hadith dari Nabi SAW bersabda: ‘Seorang pedagang (atau
peniaga atau penjual atau ahli perniagaan) yang jujur (yakni, tidak menipu) dan orang yang dipercayai
(yakni, mengikuti setiap amanah al-Quran dan al-Sunnah dalam berdagang atau
berniaga) akan bersama-sama dgn para nabi dan para siddiqin orang yg benar
dan jujur) dan orang-orang yg mati syahid (di akhirat kelak).’ [Hadith al-Termidzi, Kitab Dagangan]
|
Lelaki agong itu, yang juga bergelar rasul
terakhir, pernah menegur penjual supaya tidak mencampurkan yang elok dengan
yang kurang elok.
Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah melalui seorang laki-laki yang
sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian
memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan
itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik
makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain
mengetahuinya?! Sesiapa yang menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami
(Islam)” (Riwayat Muslim, 1/99)
|
Dalam muamalah kita dilarang mengambil
keuntungan yang tidak patuh Syariah. Untung atas angin lagilah dilarang.
Kesemua itu adalah konsep dan teori yang kita
mesti faham dan hafaz serta perlu dilaksanakan dalam kehidupan hingga berakhir
nafas dihela. Harta dan kekayaan adalah kurniaan Pencipta. Begitu juga miskin
dan kaya, ianya adalah ujian daripada Allah SWT. Semua orang yang beriman akan
diuji... Justeru, ilmu adalah bekal terbaik dalam menghadapi masalah untuk
ditangani.
Bagaimana jika kita ditipu dalam transaksi
muamalah tersebut. Pada siapa kita hendak mengadu? Bagaimana hendak menuntut
hak semula? Cukupkah hanya dengan memaafkan? Tegakah kita hanya dengan
penindasan yang kita terima? Ikhlaskah hati dengan kerugian yang ditanggung. Redupkah
pandangan mata jika barangan yang dibeli hanya mampu menjadi barangan perhiasan
tanpa boleh diguna? Saban hari menjadi renungan mata. Senangkah hati rumah yang
dibina tiris bila hujan? Cat rumah belum
setahun sudah lekang? Kereta baru dibeli, tetapi gear boxnya sudah
memberontak bunyinya?
Hati kuat memupuk ikhlas.
Namun mulut manusia tiada syarikat yang mahu mengeluarkan insuran. Dua
bibir tetap bertaut menjaja kemarahan. Nasihat saya, serlahkanlah kemarahan
dengan tindakan. Tribunal Pengguna sedia membantu dengan slogannya: “Kuasa
Pengguna: 1 Pengguna ! suara” Dalam masa yang sama mohon dan munajat kepada
Allah: Ya Allah kalau sudah ramai orang yang ditipu, jadikanlah aku orang yang
terakhir dikhianati, kasihanilah orang-orang yang pernah mereka aniaya,
cukuplah Ya Allah… Ya Allah… Suarakan juga juga hasrta hati kepada Allah; Ya
Allah, mudahkanlah Presiden membuat keputusan untuk ku, agar tuntutan yang
dikemukakan adalah tuntutan yang halal dan engkau redha. Raihlah kasih Allah dengan tangisan.
Berat hati meletakkan diri sebagai yang menuntut
dalam perbicaraan di Tribunal Pengguna . Lebih berat lagi terpaksa memperjuangkan
nasib diri sendiri tanpa diwakili oleh peguam. Mudah perkataan; sendiri jadi
peguam kepada diri sendiri. Bertambah siksa terpaksa menuntut kepada penentang
yang juga adalah kawan rapat yang tersenarai dalam orang yang rapat dengan
kita. Tersiksa perasaan!!! Benar-benar tersepit. Antara hak dan sahabat. Hanya
Allah yang tahu; bukan marah kepada sahabat tetapi benci kepada perbuatan.
Tambah nyilu hati apabila penentang hanyalah alat dan kuda tunggangan kepada
yang memberi perkhidmatan.
Dari perbicaraan pertama hingga selesai, pelbagai
kes tuntutan dalam perbicaraan Tribunal Pengguna. Dari kes gores dan menang
yang memberi barangan yang tidak berkualiti, rakyat Bangladesh yang menuntut kepada
rakyat Malaysia yang memberi tiket pergi sahaja tetapi mungkir memberi tiket kembali ke Malaysia, hinggalah kepada tuntutan terhadap syarikat
gergasi dan ternama yang mengeluarkan
kereta sebagai penentang (kena tuntut), semuanya menjadi halwa telinga. Teruja
saya bahawa betapa saya boleh mendapat perlindungan dan menuntut hak kembali jika
ditipu melalui Tribunal Pengguna.
Syarat untuk menang kes amat mudah. Baca,
teliti dan patuhi tatacara tuntutan tribunal tanpa gagal. Tuntutan mesti jelas.
Pembuktian mesti kukuh. Transaksi berlaku. Bukti seperti, resit-resit transaksi
mesti dikemukakan. Tarikh urusan mesti ada catatanya. Allah SWT telah berpesan
kepada kita dalam surah al-Baqarah ayat 282, supaya dicatat jika berhutang.
Kalau berhutang mesti dicatat, bererti segala
resit pembelian barangan hendaklah disimpan. Biar berapapun harga barangan atau
perkhidmatan yang dibayar. Resit atau apa juga bahan transaksi tersebut akan
berfungsi sebagai bukti dalam perbicaraan. Kita Cuma perlu simpan dalam fail
pembelian barangan di rumah.
Apabila Presiden Tribunal Pengguna, telah
mengeluarkan perintah setelah perbicaraan, bererti hukuman berjalan dalam
tempoh 14 hari. Award yang dikeluarkan melayakkan penentang diseret ke penjara
dan denda jika engkar sebagaimana yang termaktub dalam Akta
Perlindungan Pengguna (APP) 1999.
Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada semua orang. Sama-sama kita dalam apa juga urusan, meletakkan Allah dihadapan.
Sentiasalah mencari Allah, di mana-mana.
0 Responses to "Antara sahabat dan menuntut hak "
Catat Ulasan