Ramai yang fasih menyebutnya sebagaimana ramai yang biasa menyebutnya. Cuma sayang, fasih dan biasa menyebutnya hanya untuk tiga patah perkataan iaitu: إنما الأعمال بالنيات. bermaksud:Segala amal dengan niat dan bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkan.Itu cerita sebelum 1432H.



Bersempena dengan Tahun 1433H, mari kita sama-sama belajar menghabiskan maksud hadis pertama dalam buku Hadis 40 tersebut:

Dari Umar bin Khathab r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah".



Ringkas maksud:

Niat
Niat yang terselit dihati ialah punca yang menentukan akibat amal baik. Baik amal itu kalau niatnya baik. Orang yang meneruskan amal baktinya kepada Allah dan menunaikan kewajipan kepada agama, keluarga dan bangsa, dia akan sejahtera dengan apa yang dilaluinya. Kepada Allah hala tuju dan maksud, itulah ikhlas namanya. Segala penat lelah, payah jerih akan hilang bilamana maksud yang ingin dicapai berjaya mahupun gagal. Berusaha untuk jaya, namun masih bersedia dengan kegagalan. Kita cuma ada usaha, yang menentukan Allah. Usah diraih penghargaan manusia. Tidak akan bertemu keadilan. Hamparkan sesuatu kerana mencari redha Allah. Yang zalim tentang dengan apa kuasa yang kita ada. Selebihnya, maafkan. Itu hak yang kita miliki. Balasan biar Allah yang tentukan segala. Kelak nanti buku pasti bertemu ruas. Biar Allah yang atur.



Hijrah
Asal hijrah ialah hijrah Nabi Muhammad SAW. dari Makkah ke Madinah. Namun hijrah hari ini di definisikan lebih luas lagi. Hijrah daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Tinggal kejahatan, hijrah kepada kebaikkan. Ringkasnya hijrah minda, hijrah sikap, hijrah tindakan, hijrah amalan. Hijrah kita bukan kerana baru menyambut 1433H tetapi kita orang yang senantiasa hijrah. Hari-hari hijrah. Setiap saat berfikir untuk hijrah. Hijrah kerana mencari kasih sayang Allah.

Kita perlu ada taulan yang positif mindanya. Kita perlu ada sahabat yang berani menegur salah laku kita secara hemah. Tinggalkan taulan yang kuat mengata di belakang. Kita perlu ada teman yang mengingatkan bila kita lupa. Kita perlu ada taulan yang menjadi teladan. Kita perlu ada taulan yang tidak pandai menempelak apabila kita salah. Kita perlu ada taulan yang sayang kita. Namun kita terlebih dahulu melontar kasih kepada mereka. Itulah pesanan seorang lelaki yang supaya kita sayang kepada saudara sebagaimana kasih kepada diri sendiri. Lelaki itulah yang namanya cukup tersohor disegenap pelusuk dunia, iaitu Nabi Muhammad SAW .


Yang baru pulang dari Tanah Suci, jadikan hijrah yang sedang dilalui terus maju ke hadapan. Yang belum berangkat jadikan Makkah dan Madinah Inspirasi Hijrah. Ayuh kita hijrah minda, hijrah perlakuan, hijrah tindakan, hijrah segala demi meraih Cinta Allah......



Kawan cermin diri, musuh cermin peribadi.

0 Responses to "Makkah Madinah Inspirasi Hijrah"

Catat Ulasan

  • Salam Pertemuan




    Pembaca yang budiman,




    Mengisi ruang kecanggihan teknologi ICT, media ini sebagai penghubung di antara saya dan anda. Idea yang dipaparkan memang pendek isi maknanya. Pengisian yang diketengahkan untuk direnung dan difikir agar bersama kita celik akal. Sekadar untuk didik diri sendiri dan mengasah bakat dalam penulisan, selagi nafas boleh lagi dihela.




    "Kerja ke depan, Muhasabah ke Belakang"




    Sekian,



    Salam hormat dari saya




    Ai'sah Abol


    Blog Archive

    Pelawat

    blog counter free counters