10:12 PTG
Sambutan Hari Raya Aidil Fitri mahupun Hari Raya Aidil Adha kedua-duanya sama bagi saya, cuma cara yang berbeza. Di Tanah Suci sambutan penuh tanggungjawab terhadap Allah SWT. Di Malaysia, kuih-muih, limpahan makanan yang membaris di meja makan, periuk dan kuali yang membubun dengan rendang sebagai penambah seri menunai tanggungjawab.
Ketika belajar sudah terdidik tidak dapat menyambut Hari Raya Aidil Adha dengan ahli keluarga, dek kerana jauh merantau menimba ilmu. Ibu bapa tidak berharta, tetapi tetap jihad memberi bekal ilmu sebagai harta.Dek kerana bukan dekat jaraknya, cuti pula cukup pendek, raya sajalah "di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung" Ada rakan menangis. Ada rakan biasa-biasa.
Namun lebih manis lagi, berhari raya di padang pasir. Raya di Arafah, Raya di Muzdalifah, Raya di Mina dan Raya di Makkah. Bersarapan dan makan apa yang dihidangkan. Biskut dan maggi kongsi bersama. Mewah tidak. Cukup memberi tenaga bagi menunai tanggungjawab yang digalas. Tiada rendang, tiada ketupat. Malah kadangkala lupa dan tidak sempat untuk berfikir, bahawa pada ketika itu di Malaysia meja makan penuh dengan makanan, sampai tiada ruang untuk meletak tangan untuk menongkat dagu. Di pasar ada peniaga sampai lengoh tangan menjual barang, mengira laba rezeki.
Menyambut Hari Raya Aidil Adha dengan tugas dan tanggungjawab. Bertugas dalam redup teduhan khemah. Bertugas dalam panahan terik matahari. Bertugas dalam limpahan mutiara air hujan. Uniform yang tadinya kering sudah basah kuyup. Tidak cukup payung, bag plastik untuk sampah jadi sasaran. Mengurus dan mengendali jemaah haji menjadi agenda utama rutin harian. Pengurusan berpasukan dan ISO digalas dengan amanah. Dalam masa yang sama ibadat melontar tidak diabaikan. Mina tetap menjadi agenda.
Mengimbau kenangan di Arafah, teringat pada Muzdalifah, mengenang Mina, adalah himpunan rindu yang tak pernah suram.
Cinta Makkah, Rindu Madinah.
0 Responses to "Raya Di Padang Pasir, Raya di Malaysia"
Catat Ulasan