Terungkapnya kata-kata Aku terima nikahnya ..... dengan mas kahwin ........tunai....maka sah lah seorang lelaki menjadi suami., perempuannya menjadi isteri. Demi cintaku pada mu kukorban jiwa dan raga... Indahnya bait-bait lagu memerihal kata cinta dua insan. Bahtera rumahtangga yang dibina dilayar bersama. Susah senang diharung bersama. Asal cuma suami isteri, kini sudah ada anak-anak. Gembiranya hati isteri.

Betul kata-kata:zaman bercinta semuanya baik belaka. Bila sudah sebumbung macam-macam hal terdedah. Bukan lagi terbuka pekung di dada. Tapi semuanya tersingkap. Suami diharap menjadi pelindung kehidupan, pemimpin keluarga tidak amanah kepada Allah. Solat fardhu tidak pernah. Solat Jumaat entah kemana. Solat Aidil Fitri dan Solat sunat Aidil Adha lagilah . Laranya hati isteri.

Ramadhan tidak ditunai. Lapar katanya. Sakit perut alasan diberi. Anak-anak tertanya-tanya sesama sendiri. Beribu alasan disusun ibu, tatkala anak menyoal ibu kenapa ayah tidak puasa. Bangun pagi dipaksa isteri menyediakan bekal. Pulang tengahari mencari rezeki dipaksa pula memasak. Laranya hati isteri.

Anak-anak asyik menonton TV rancangan agama. Datang si ayah ditukarnya ke channel lain. Terperanjat si anak terkeluarlah kata-kata...ayah, "malam ni kan malam Jumaat."Gusar si anak ketenangannya menghayati Kalam Allah direnggut begitu rupa. Ayah yang patut memimpin dan mendidik dengan didikan agama kini menambah dosa menghalang kebaikan yang sepatutnya dia yang semai. Laranya hati isteri.

Kesalahan kecil menjadi besar. Tidak sepatutnya salah diherdik bagaikan melakukan dosa tak berampun. Bukan sahaja isteri, anak-anak juga menerima hamburan kata-kata nista, caci maki, sumpah seranah dan entah apa lagi. Marahnya bukan kepalang. Panas baran, entah sedang mendidih. Itulah kata-kata teladan seorang suami tercinta kepada isteri dan anak-anak saban hari. Laranya hati isteri.

Tidak tertanggung rasanya terus mengharung dunia perkahwinan. Namun kalau berpisah anak yang masih rebung siapa lagi yang akan memberinya agama. Maka berkorbanlah isteri demi agama anak. Ditangguh dulu hasrat berpisah. Perkahwinan menjadi duri dalam daging. Hilang mimpi indah. Isteri termenung sendiri antara berkorban, terkorban dan mengorbankan diri. Laranya hati isteri...

0 Responses to "Lara Hati Seorang Isteri"

Catat Ulasan

  • Salam Pertemuan




    Pembaca yang budiman,




    Mengisi ruang kecanggihan teknologi ICT, media ini sebagai penghubung di antara saya dan anda. Idea yang dipaparkan memang pendek isi maknanya. Pengisian yang diketengahkan untuk direnung dan difikir agar bersama kita celik akal. Sekadar untuk didik diri sendiri dan mengasah bakat dalam penulisan, selagi nafas boleh lagi dihela.




    "Kerja ke depan, Muhasabah ke Belakang"




    Sekian,



    Salam hormat dari saya




    Ai'sah Abol


    Blog Archive

    Pelawat

    blog counter free counters